Zaini Lelaki Tertua Digelar ‘kitab hidup’

posted under by nemo

KUCHING:

Lelaki tertua, Zaini Muhammad, 104 tahun, (gambar) boleh diibaratkan sebagai kitab hidup kerana masih boleh menceritakan pengalaman hidupnya sejak zaman pemerintahan Brooke sehingga sekarang.


Beliau dilahirkan pada 1903 di Kuching, pernah berkhidmat sebagai pemandu peribadi Jeneral Takuno Kaka, ketua tentera Jepun yang memerintah Kepulauan Borneo ketika era Perang Dunia Kedua sebelum menjadi antara pemandu teksi terawal di bandar raya ini.

Isterinya, Setik Husin meninggal pada 1970 dan sejak itu beliau tidak pernah berkahwin lagi kerana terlalu sayangkan arwah isterinya.

Beliau yang berkahwin pada 1938, dikurniakan lima orang anak yang terdiri dari seorang lelaki dan empat wanita kini mempunyai 34 orang cucu, 79 orang cicit dan tiga piut dengan anak sulungnya Lilian kini berusia 66 tahun dan ahli keluarga termudanya berusia tiga bulan.

Selepas pembentukan Malaysia pada 1963, beliau berkhidmat dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang pertama sebagai pemandu keluarga sehingga Tun Abang Openg Shafie meninggal dunia sebelum dia mengambil keputusan berhenti kerja ketika berusia 64 tahun.

Antara tugasnya ketika itu adalah membersihkan kediaman rasmi Abang Openg selain dari menghantar anaknya ke sekolah dengan Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Seri Abang Johari Openg adalah antara yang paling rapat dengan Zaini.

Zaini yang ditemui berkata, dia tidak mengamalkan apa petua untuk memanjangkan usia.

"Saya makan dan minum tanpa pantang, minuman kegemarannya ialah neslo (nescafe campur milo). Pada waktu terluang saya ke kedai kopi berhampiran Masjid Bahagian untuk berbual dengan kawan lama," katanya yang kini menetap di Kampung Patingan, Satok.

0 comments

Make A Comment
top